Wednesday, February 19, 2014

Apa Itu Program NILAM??

NILAM’ atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan penggabungan atau adunan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah dengan memberi pengiktirafan yang sesuai. Pelaksanaan program ini meliputi penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan.
Program ini ialah satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia dengan matlamat untuk membina tabiat membaca di kalangan murid. Bahagian Teknologi Pendidikan ialah urus setia di Kementerian Pelajaran yang ditugaskan untuk menyelaras program ini.
Program ini telah mula dilaksanakan dengan Tahun Satu di sekolah rendah dan Tingkatan Satu atau Peralihan di sekolah menengah dengan rasminya pada 1999, melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pelajaran Malaysia Bil.13/1998: Program Membina Tabiat Membaca bertarikh 22 Mei 1998.
Menjadikan murid banyak membaca
Menggalakkan sekolah terus menjana idea kreatif dan inovatif bagi menyemai tabiat membaca ini
1. Mendedahkan kepada para pelajar tentang pelaksanaan program NILAM di sekolah
2. Menyemai budaya suka membaca dalam kalangan pelajar
3. Menerapkan sikap cinta akan ilmu dalam kalangan pelajar
4. Menggalakkan pelajar agar menggunakan masa yang terluang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah
5. Memupuk keyakinan dan ketrampilan diri yang tinggi dalam kalangan pelajar.
 Membaca dan merekod bahan bacaan
Murid perlu membaca buku yang sesuai dengan tahap kebolehan mereka dan mencatat maklumat pengarang, judul, bilangan mukasurat, penerbit dan sinopsis atau peta minda tentang buku yang dibaca ke dalam buku rekod.
Mengesahkan rekod dan mengumpul data
Tugas guru adalah untuk mengesahkan serta menandatangani rekod bacaan murid dan ia merupakan tanggungjawab semua guru di sekolah. Data rekod hendaklah dikumpulkan oleh guru Bahasa dan diserahkan kepada penyelaras Pusat Sumber Sekolah atau guru penyelaras NILAM untuk dianalisa dan direkodkan. Data pembacaan murid perlu dikumpulkan dan diserahkan kepada Pusat Kegiatan Guru di kawasan sekolah tersebut untuk dipanjangkan ke Pusat Sumber Pendidikan Negeri dan Bahagian Teknologi Pendidikan,Kementerian Pelajaran Malaysia.
Memberi Pengiktirafan dan Ganjaran
Sekolah dan semua peringkat Kementerian Pelajaran juga perlu memberi pengiktirafan dan ganjaran kepada murid yang telah banyak membaca dan berusaha mengisi rekod bacaan mereka mengikut sistem ganjaran dan pengiktirafan NILAM, misalnya dengan memberikan buku sebagai hadiah, sijil pengiktirafan NILAM atau dinyatakan bilangan buku yang sudah dibaca dalam rekod kemajuan murid dan sijil berhenti.
Program NILAM mempunyai dua tahap. Tahap pertama ialah untuk membina kemahiran dan menanam minat membaca sehingga terbina satu tabiat. Tahap ini dikenali sebagai JAUHARI. Tahap kedua pula membantu pencambahan penggunaan bahan dalam gerakan membaca. Tahap ini dikenali sebagai RAKAN PEMBACA (RP).
TAHAP JAUHARI
Tahap Jauhari menggalakkan murid menambah bilangan bacaan mereka pada peringkat Sekolah Menengah. Murid pada peringkat ini wajib membaca banyak buku apabila mereka mula belajar di Tingkatan Satu sehingga Tingkatan Lima. Mereka perlu berusaha untuk mencapai tahap pembacaan seperti berikut:
Jumlah Buku
Pengiktirafan
72 - 143
Gangsa
144 - 215
Perak
216 - 287
Emas
288 ke atas
NILAM

Apakah yang dimaksudkan dengan TAHAP RAKAN PEMBACA?
Tahap RAKAN PEMBACA (RP) mengutamakan aspek kepimpinan dalam aktiviti membaca. Setelah membaca sejumlah 100 buah buku murid layak memasuki tahap RP. Tahap ini memberi penekanan kepada kebolehan murid membimbing dan menarik minat orang lain supaya suka membaca. Walau bagaimanapun aktiviti Tahap JAUHARI masih diteruskan.
Pengiraan markah bagi aktiviti ini diberikan mengikut jumlah aktiviti atau sesi aktiviti (dan bukan jumlah bilangan pendengar, kecuali aktiviti meminjamkan buku) yang dijalankan mengikut kesesuaian umur murid seperti :


- Bercerita (1 sesi = 5 markah)
- Bicara Buku (1 sesi = 5 markah)
- Ulasan Buku (1 sesi = 5 markah)
- Meminjamkan buku (1buku x 5 peminjam = 5 markah)
Murid pada tahap Rakan Pembaca ini diberikan pemarkahan usaha mereka mengikut Jadual Sistem Ganjaran RP :
Jumlah markah aktiviti
Pengiktirafan
100 – 199
Gangsa
200– 299
Perak
300 – 399
Emas
400  ke atas
NILAM
Program NILAM mengalakkan murid membaca di mana jua walaupun selepas tamat waktu persekolahan. Walaubagaimanapun, satu masa membaca di Pusat Sumber Sekolah atau di sudut bacaan kelas wajar dimuatkan dalam jadual kelas terutamanya matapelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris untuk menjalankan aktiviti membaca.
Waktu lain juga boleh diperuntukkan untuk aktiviti PSS yang melibatkan pengajaran kemahiran membaca, contohnya aktiviti dalam Minggu Pusat Sumber Sekolah, Minggu Bahasa atau mata pelajaran lain.

Murid juga boleh meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit semasa waktu perhimpunan mingguan untuk aktiviti membaca seperti Bicara Buku dan menulis ulasan buku

p/s Hanya penerangan secara ringkas tentang program NILAM

0 comments:

HARAP MAAF..BLOG INI MASIH DALAM PEMBINAAN..TQ